Rabu, 30 Oktober 2019

Cara-cara Mengatasi Kemalangan Jalan Raya



         Kemalangan jalan raya bermaksud kecelakaan yang berlaku kepada seseorang semasa berada di jalan raya. Kemalangan boleh menyebabkan kita kehilangan harta benda dan anggota badan.
     Terdapat pelbagai sebab kemalangan jalan raya boleh berlaku. Antaranya ialah kecuaian pemandu yang juga merupakan punca utama kemalangan. Antaranya, kecuaian yang dilakukan oleh pemandu ialah memandu dengan laju, kurang tidur sebelum memandu  dan mabuk ketika memandu. Ada juga sesetengah  yang tidak mematuhi peraturan di jalan raya.
     Pemandu yang mengabaikan keselamatan kenderaan kenderaan juga merupakan salah satu punca terjadinya kemalangan jalan raya. Kebanyakan pemandu tidak memeriksa kenderaan mereka terutamanya di bahagian enjin dan tayar. Enjin dan tayar yang tidak diselia dengan sempurna akan menyebabkan kemalangan.
     Namun begitu, kemalangan jalan raya boleh dielakkan. Antaranya ialah mengamalkan sikap berhati-hati di jalan raya. Kita perlu mematuhi segala peraturan yang terdapat di jalan raya. Selain itu, kita juga perlu bertolak ansur semasa berada di jalan raya dengan  memberikan  laluan  kepada  orang lain apabila  berlaku  kesesakan di jalan raya.
       Kita juga perlu memeriksa kenderaan  terlebih dahulu sebelum menggunakan kenderaan tersebut. Enjin kenderaan perlu dijaga dengan menukar minyak silinder  apabila telah cukup tempohnya. Tayar kenderaan  hendaklah diganti apabila  tayar  itu telah haus. Kita juga perlu menghantar kenderaan ke pusat servis kenderaan untuk memastikan  kenderaan sentiasa berada dalam keadaan baik.
       Keselamatan di jalan raya banyak bergantung kepada sikap manusia itu sendiri. Jika kita sentiasa berhati-hati dan mematuhi peraturan  jalan raya, kemalangan  dapat dielakkan.

Sumber asli daripada pelangi tunas

Kegunaan Pokok Buluh


         Terdapat banyak pokok buluh di negara kita. Pokok buluh mudah hidup terutamanya di tebing sungai. Pokok buluh mempunyai batang yang lurus dan mempunyai ruas. Daun pokok buluh pula berbentuk  tirus.
         Pokok buluh mempunyai banyak kegunaan. Batang buluh boleh dibuat pelbagai jenis barang. Pada zaman dahulu, batang-batang buluh yang diikat rapat boleh digunakan untuk dibuat rakit. Rakit digunakan sebagai alat pengangkutan di sungai.
        Batang buluh yang dibelah kecil-kecil dan diraut panjang boleh dibuat bubu. Buluh yang telah siap diraut rapat-rapat dengan berukur lilit bulat dan berbentuk bujur. Bubu boleh digunakan untuk memerangkap ikan di sungai.
        Batang buluh juga boleh dibuat perabot seperti kerusi, meja dan barang-barang perhiasan. Barang-barang yang diperbuat daripada buluh juga boleh dijual kepada pelancong-pelancong untuk dijadikan  sebagai cenderahati. Buluh juga boleh dijadikan alatan muzik seperti angklung dan seruling.
     Selain itu, ruas tengah buluh yang ditebuk boleh dibuat sarung lemang. Lemang merupakan pulut yang dimasak bersama santan di dalam buluh. Rebung buluh tumbuh sebagai anak sulur pokok buluh. Rebung  ini boleh dimakan dan sedap apabila dimasak lemak cili api.
      Perkataan buluh juga terdapat dalam pepatah Melayu iaitu,  “ Melentur  buluh biarlah daripada rebungnya”. Pokok buluh merupakan pokok serbaguna.



Sumber asli daripada pelangi tunas

Selasa, 29 Oktober 2019

Kegunaan Kenderaan Kepada Manusia



             Kenderaan sangat penting kepada manusia. Kenderaan yang banyak terdapat di negara kita ialah lori, motosikal, basikal, kereta, van kapal terbang, kapal dan sebagainya. Kenderaan dicipta untuk memberikan kemudahan dan menyelesaikan masalah pengangkutan yang dihadapi oleh manusia.
              Kenderaan seperti bas, kapal terbang dan feri boleh digunakan untuk mengangkut penumpang. Kapal terbang mudah mengangkut manusia ke sesuatu tempat dengan pantas dan jumlah penumpang yang ramai. Alat pengangkutan seperti kapal terbang dan feri juga amat diperlukan di kawasan pedalaman yang tiada kemudahan jalan raya.
              Selain itu, kenderaan juga digunakan untuk mengangkut barang untuk dipindahkan ke sesuatu tempat. Kenderaan seperti kapal laut boleh mengangkut jumlah barang yang besar seperti kontena, minyak dan sebagainya.
              Kenderaan seperti feri boleh mengangkut manusia dan barang-barang lain. Lori pula memudahkan penghantaran barang-barang di atas darat untuk dihantar dari satu tempat ke satu tempat yang lain.
              Kenderaan seperti motosikal dan basikal merupakan kenderaan bersaiz kecil yang boleh melalui jalan yang sempit. Kenderaan seperti ini hanya boleh membawa antara dua hingga tiga orang penumpang sahaja. Kenderaan ini mudah dikendali kerana tidak memerlukan jalan yang lebar.       
              Kenderaan seperti kereta dan van menjadi pilihan ahli keluarga yang ramai. Kenderaan tersebut sudah menjadi keperluan kepada manusia untuk pergi bekerja dan bersantai bersama keluarga.
             Kenderaan yang dicipta pada zaman sekarang semakin canggih dan moden. Kenderaan pada masa akan datang yang akan dicipta akan mengutamakan penjimatan minyak kerana harga minyak yang semakin mahal pada masa sekarang

Petikan ini dipetik daripada tunas pelangi.